Mendekati Sekularisme

5:17:00 AM

Ucapan Erdoğan telah memberi tanda yang besar kepada perubahan di dunia arab pasca revolusi(saurah) di Mesir. Ucapan tokoh dari AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) yang dihadhiri jutaan manusia dari pelusuk Mesir, diberikan penghormatan seawal turun di lapangan terbang Kaherah lagi. Tokoh yang dianggap berjaya mengahwinkan demokrasi dan Islam ini pernah dipenjarakan 10 bulan kerana membacakan sebuah puisi lama warisan negara berbunyi seperti ini : Menara adalah bayonet kami, kubah masjid adalah topi -topi, masjid adalah berek- berek, dan orang beriman adalah tentera- tentera kami."

Apa yang mengejutkan, selepas itu Erdoğan yang mengetuai AKP telah menang tiga kali berturut- turut dalam pilihanraya parlimen Turki,  dengan mendapat 47% undi popular pada 2003 lalu meningkat kepada 50% pada 2007.

Dalam ucapannya, Erdoğan mengatakan bahawa sekularisasi Turki tidak mengikut model sekular Anglo- Saxon atau model Barat, tetapi menjelaskan bahawa, "Individu tidak boleh menjadi sekular, tetapi negara boleh. Seorang Muslim yang taat dan patuh boleh mentadbir negara sekular."

Kalimah sekular, barangkali amat menakutkan. Namun, seharusnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan pada satu kata: sekular. Datang dari Latin, saeculum, sekular adalah pengalaman Barat, saat ranah agama bertarung dengan ranah politik. Pengalaman inilah, yang lalu menghasilkan negara demokrasi seperti yang mereka nikmati dewasa ini. Demokrasi, dan sekular adalah dua hal yang tidak terpisah. Untuk menjadi sebuah negara demokrasi, kata Luthfi Assyaukanie, maka semestinya turut menerapkan sekularisasi.

Sekular menjadi istilah yang sangat sensitif kerana perbincangan tentangnya masih lagi dimonopoli dengan wacana pasca-pencerahan di Eropah yg melibatkan pertentangan sengit antara gereja dan failasuf, juga politikus. Dan sekularisme dalam dunia Islam juga sensitif kerana ia muncul menerusi wajah Mustafa Kamal atTaturk yg meninggalkan luka yg dalam terhadap umat Islam, sebetulnya itu Kemalism, bukan sekular semata-mata, tambahan pula waktu itu khilafah baru sahaja dimansuhkan lantas Kemalism mengakui bahawa ideologinya sekular. Wacana akan terhenti kalau kita menghentikannya setakat Kemalism di Turki mahupun laicite di Perancis.

Takrif sekularisme Erdoğan lebih sejajar dengan yang difahami oleh Tariq Ramadhan berbanding Sayyid Qutb, Al-Qaradhawi dan Al-Attas yang telah membentuk pandang alam masharakat Islam di Malaysia sejak beberapa generasi. Bagi Tariq Ramadhan, sekularisasi sebagai cara yang menghampiri ideal untuk memelihara pluraliti masyarakat dan menjamin kebebasan individu. Negara tidak ada hak untuk menguasai agama individu, bahkan Islam, Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan ajaran masing- masing.

Harus diingat, sekular itu adalah prasyarat utama untuk demokrasi. Sangat sulit untuk menjadi sebuah negara demokrasi tanpa adanya negara sekular. Demokrasi memang menuntut sekularisasi. Sebab itu, ada pembedaan antara wilayah agama dengan wilayah politik. Namun begitu, harus diakui juga bahawa bentuk sekularisasi ini ada pelbagai. Tapi, itu adalah persoalan lain. Yang harus kita terima terlebih dahulu, sekularisasi adalah merujuk kepada proses pertama penubuhan sebuah negara demokratik. Kalau kita mahu menjadi negara demokrasi, maka harus sekular dulu. Tidak mungkin Negara Islam, atau negara teologi apa-apa pun, dapat menjadi negara demokrasi, tanpa menerapkan sekularisasi.

Dalam wacana agama dan negara, biasanya rakyat itu selalu dipertentangkan dengan Tuhan. Selalunya, demokrasi ditafsirkan apabila Tuhan tidak memasuki urusan politik manusia. Itu makna demokrasi. Justeru, kalau negara-negara Muslim mahu demokrasi, maka wilayah Tuhan dan wilayah manusia harus dibedakan terlebih dulu. Ini maknanya, tidak boleh ada kesempatan bagi agama sehingga agama menjadi candu oleh pemerintah untuk mengkhayalkan rakyat(baca : orang miskin). Tidak boleh ada juga, pemerintah yang mengaku sebagai wakil tuhan di muka bumi, lantas wajib taat walaupun zalim kerana dia lah yang paling benar. 

Ini maksud sekularisasi dalam negara demokrasi. Pada zaman Nabi SAW dahulu, dalam urusan mu'amalat yang melibatkan kebijaksanaan manusia dan lebih kepada melihat kepada tujuan-tujuan syarak dan prinsip-prinsip umum(al-iltifaat ila al-ma'ani wa al-maqasid) , Nabi mendahulukan mesyuarat (syura) bukannya memutuskan terus walaupun baginda SAW seorang nabi, dan para sahabat juga akan bertanya kpd Nabi SAW, "adakah arahan engkau ini merupakan wahyu?" sebagaimana berlaku dalam banyak peristiwa.

Bukan maksudnya demokrasi sekular memusuhi agama. Tapi, membezakan. Ini bertujuan untuk membezakan urusan agama (Tuhan) dengan urusan rakyat (manusia). Lantaran itu, agama tidak boleh sesekali ikut campur dalam urusan rakyat. Agama adalah urusan peribadi, biarpun kita tidak menafikan bahawa ada beberapa hal agama yang bermain di ruang publik. Namun, secara asasnya, itu adalah persoalan lain. Cuma, sekarang kita berbicara tentang sesuatu yang ideal. Dalam membicarakan mengenai sesuatu yang ideal, sudah tentu dua skop ini—agama dan rakyat—mestilah diasingkan, meskipun memang dalam waktu-waktu ada persentuhan.

Jasa sekularisasi Erdoğan adalah besar di Turki. Reformasi terbesar yang dialami oleh Turki sejak sekularisasi Erdoğan seperti azan sudah boleh dilaungkan dalam bahasa Arab kembali, mahasiswi dapat bertudung di dalam universiti, dan banyak lagi sekatan agama yang tidak dapat dilakukan pada zaman atTaturk.

Secara zahirnya, mereka mengakui sebagai sebuah parti yang mempertahankan dasar negara yang sekular, tetapi secara tidak sedar didapati sekular anti agama di turki sudah bertukar kepada tidak anti agama. Apabila ditanya tentang semangat perjuangannya, Erdoğan secara terang-terangan mengatakan bahawa beliau mendokong sekular. Tetapi disebalik perkataannya itu, banyak ruang-ruangan kefahaman rakyat terhadap Islam semakin terserlah.

Erdoğan melihat perlembangan yang sekular memberikan hak-hak asas yang sama kepada semua agama dan individu. Manakala hak-hak orang Islam hanya terjamin sekiranya mereka menjadi orang yang taat kepada agama. Selagi orang Islam tidak tunduk kepada hukum-hukum(melalui kefahaman), tentu pelaksanaan dan penguatkuasaan hukum juga terbatas. Menyoroti sirah, Umar sendiri pernah menangguhkan hukuman hudud potong tangan (sariqah) pada zaman darurat berikutan tidak mahu fitnah timbul kerana ketidak cukupan syarat melaksanakannya.

Ruang sekular dan keterbukaan inilah yang sedang dimanfaatkan oleh  Erdoğan supaya ruang kefahaman kepada Islam semakin jelas supaya hukum Islam dapat dilaksanakan.

Dalam model Turki sekular, negara telah mengawal agama --cara ia diorganisasikan, dipercayai dan diajar. Walaupun negara atas nama sekularisme, mengawal tata agama, agama tidak dibenarkan untuk membuat undang- undang atau peraturan hal ehwal negeri. Sebagai natijahnya, sekularisme Turki telah mencorakkan institusi agama yang tersendiri melalui aparatus negara(disebabkan keterbukaan) supaya ia dapat memerintah dan mengawal aktiviti agama.  Malah, dalam ihal ni negara tidak berat sebelah sejak institusi itu hanya menjaga Islam, melalui satu tafsiran. Maka Sunni Islam menjadi "agama rasmi" dalam amalan rakyat kecuali bagi non- Muslim dan Syiah Alawi. Selain itu, idealisme Islam menjadi kewajipan di sekolah- sekolah telah mengukuhkan monopoli Islam melalui tafsiran dan pengajaran.

Malaysia dan Sekularisasi

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang menjunjung penuh prinsip perlembagaan, antara lainnya bersetuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sekular. Memahami situasi Malaysia yang semakin rencam dan caca marba berikutan banyak isu perkauman dan agama yang timbul, marilah kita belajar dari pengalaman barat bagaimana harus menerapkan sekularisasi dalam sosio- agama.

Sejak zaman berzaman, negara ini memegang konsensus bahawa nyawa Malaysia yang terbentuk sering saja disandarkan pada Melayu-Islam, sembari disaluti dengan omongan, "turut menghargai kaum-kaum lain."

Bagaimanapun, sejarah dan omongan tak menghasilkan apa-apa.

Pandangan sepihak Melayu- Islam membentuk model- model negatif seperti "isu sensitif," "mengugat keselamatan negara," "ketuanan Melayu" dan "bangsa pendatang" menatijahkan akhirnya setiap kelompok memendam dendam yang hujungnya membibit konservatisme dan fundamentalisme. Sehubungan itu, setiap hal mestilah dibenarkan untuk diwacanakan dalam ruang awam.

Jürgen Habermas filsuf teori sosial dari Jerman boleh membantu kita, menerusi dualisme sistem-politik dan Lebenswelt-nya. Dalam kata yang dipinjamnya dari fenomenologi Husserl, Lebenswelt itu merujuk kepada dunia-kehidupan, di mana setiap kelompok memiliki kesedaran tentang pandangan-hidup yang dihayatinya. Mithalnya, Melayu ada pandangan hidupnya. Cina juga begitu, dan India pun, serta kaum-kaum yang lain-lain.

Lebenswelt ini tentu boleh berkait dengan agama, atau dengan faham-faham lain, seperti yang akhirnya juga telah melahirkan lekatan antara Melayu-Islam. Mudahnya, setiap kaum berhak memiliki pandangan hidupnya, serta berhak memperjuangkan pandangan-hidup mereka ini ke arah membangun sebuah sistem politik negara. Hak ini harus terus dibenarkan, dan dipertahankan.

Setelah setengah abad merdeka, rasailah bahawa kita memiliki hak kita sendiri untuk berfikir bagi diri sendiri, bukan secara fasisme oleh para pemerintah. Wacana dibiarkan bebas supaya mencapai ma'na sekular dan demokrasi yang sebenar.

Selamat berfikir secara sekular dalam hak anda sebagai warganegara demokrasi. :)

Mohamed Eşref Moez(Muiz Nasrallah) ialah seorang mahasiswa Universiti Islam Madinah merupakan seorang salafi yang berfikir secara liberal , demokratik dan sekular. 

You Might Also Like

8 komen

  1. Sejak memilhat soalan saudara "apa yg kamu faham tentang sekular?" (lebih kurang begini), saya tertanya-tanya dan cuba melihat serta mencari sudut pandangan lain terhadap definisi sekular.

    Saya ambil definisi ringkas. Sekular = pemisahan sesuatu entiti daripada agama. Apa yg saya lihat, perkataan "pemisahan" itu boleh dipecahceraikan lagi kepada persoalan pemisahan yg bagaimana.

    Maka, dengan terbitnya entri ini, saya dapat penjelasan yg lebih jauh dan mendalam. Tahniah dan terima kasih!

    ReplyDelete
  2. Dah baca 'Sacred and Secular'?

    ReplyDelete
  3. Begini saja, pemisahan dan pembedaan adalah satu kalimah yang berbeza, membawa maksud yang berlainan besarnya. Tentu saja, muslim takkan bersetuju dengan pemisahan siasah dari agama.

    Kalau dipandang teliti, andai sekular yg dimaksudkan ialah pembedaan (tamyiiz) antara kenegaraan dan urusan agama, maka ini juga wujud pada Islam. Islam membedakan, bukannya memisahkan. Kalau dicampur aduk tanpa pembedaan yang jelas, maka urusan akan jadi kacau bilau, akan jadilah pemerintah itu datang dgn dakwaan dia merupakan "wakil tuhan di bumi, dan arahannya mestilah ditaati". Adapun kalau dipisahkan, bertentangan dengan kesyumulan Islam, sebab itu mesti dibedakan bukannya dipisahkan.

    Adapun, pembezaan ini, Ali Abdul Raziq menulis dalam bukunya(diserang teruk oleh agamawan yang tidak peka) sendiri mengatakan bahawa pemerintahan Abu Bakar adalah sekular sebagaimana acuan pemikiran Ibn Rusyd dan Tariq Ramadan.

    Kalau mahu diwujudkan kerajaan agama, maka akan terjadilah sebagaimana pemerintahan gereja dahulu kala. Dan maha suci Allah daripada menurunkan agama sebegitu.

    ReplyDelete
  4. Kupasan yang menarik. Baru selesai membaca. Tahniah kepada penulis.

    ReplyDelete
  5. Oh begitu. Jadi, kita bersetuju ianya adalah perbedaan dan bukanlah pemisahan.

    ReplyDelete
  6. "Individu tidak boleh menjadi sekular, tetapi negara boleh. Seorang Muslim yang taat dan patuh boleh mentadbir negara sekular."

    sungguh dlam ayat ini.. jika benar kita benar.. ikutlah Al-Quran dan sunnah..

    ReplyDelete

Like us on Facebook

Follower