Normaliti Yang Cacat.

6:57:00 AM


Jikalau mahu diikutkan, apakah yang ada sangat pada dunia. Setiap detik lalui ada selalunya datang sekali dengan sesalan. Sungguh. Penuh perit jiwa dan raga. Memikirkan jalan hidup yang penuh dengan sempit duri duri di kiri dan kanan. Sempit. Menghimpit jiwa ke arah yang sempit.

Ya. Dunia. Nak cakap pasal dunia.

Tiada ku tahu mahu diluahkan kepada siapa. Dibincangkan saja pun,tak mungkin mampu selesai. Bila diambil langkah,ada sahaja yang melonglai.

Dunia. Dunia semata mata.






Begitu sukar untuk bergerak tanpa dosa zaman sekarang ni. Lihat. Lihat di sekeliling. Mampukah kita berjalan dengan zero saham dosa walaupun untuk ke depan rumah? Mampukah kita peroleh ilmu dengan zero saham dosa walaupun dengan niat menuntut ilmu kerana Allah?

Sedangkan bila mahu menaip blog pun, ada juga sesaat terlihat rakan Facebook yang menonjolkan aurat semata? Sedangkan bila pergi ke kelas, yang mengajarnya juga sudah menggugat semata?

Sedangkan majlis Iftar turut menyediakan "juadah" mata yang betul betul menggelapkan hati?


Yang Salah Telah Lengkap Jadi Normal.
Dunia kita sedang terlampau sakit. Dimana manusia sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini, mentadbir seadilnya dan memakmurkan muka bumi di atas nama Allah. Tetapi kini sudah tiada dilihat dengan mata kasar. Tiada.

Tiada perlu kata di muka bumi sahaja. Di mata hati manusia itu sendiri pun juga. Sakitnya bumi kerana sakitnya manusia.

Begitu normalnya masalah masalah agama sekarang ini sehinggakan hati kita sendiri tiada merasa pun perkara itu salah. Begitu normal. Sehinggakan apabila kita menghindarkan diri kita daripada dosa, diri ini dikatakan miskin. Ketinggalan zaman. Dunia ketiga.

Sungguh. Sebesar besar dosa meninggalkan solat pun kita sudah menganggap itu biasa. Manakala rambut wanita ditonjolkan juga, sudah pun menjadi biasa.


"Dia tak bertudung pun tak apa lah. Sopan lagi tu."

"Dia tak solat Subuh. Biasalah tu tertidur."






Hentikan sebentar untuk melawan pihak ini. Ianya hanya perlu dipersoalkan. Kenapa sehingga sebegitu?


Manipulasi? Termanipulasi? Atau Dimanipulasi?
Jelas nyata apa yang dilihat dan paksi utama yang benar sekarang ini hanyalah Barat semata. Secular compliant. Segalanya yang dikaitkan dengan kemajuan, akan dikaitkan dengan hidup sekular. Percayalah. Itu yang meliar dikalangan manusia sekarang ini.

Bukan sekadar umat Islam. Tetapi merata rata manusia. Sehingga mereka percaya dan yakin, mengikut agama tidak akan memberikan kemajuan. Malah menjadi halangan.

Sebut sahaja perkataan moden. Apa yang dizahirkan? Tidak perlu diberi contoh. Anda jawab sendiri. Ini baru dipersoalkan mengenai soal agama. Tidak pula mengenai contoh adat.

Memakai pakaian T Shirt adalah normal di tempat awam. Jikalau memakai jubah? Jikalau memakai Baju Melayu? Sememangnya akan menjadi pelik di mata manusia normal yang melihat.

Bangun pagi yang normal adalah dikala pukul 8am hingga 9am. Jikalau bangun pagi secara Islam iaitu sebelum Subuh, sememangnya turut dipandang pelik juga,bukan?

Betul betul kuat implikasi Barat sehingga begitu tersemat dalam diri manusia. Sebegitu kuat. Sedangkan mengikut sejarah, cara kehidupan Islam adalah yang normal dilihat suatu ketika dahulu. Cara hidup Islam adalah yang dipaksikan manusia ketika itu.


Dunia Dan Akhirat.
Jujur. Bila dikatakan mengenai dunia dan akhirat. Aku mahukan keduanya. Aku tidak mahu hanya akhirat semata, mahupun dunia semata. Aku mahukan kedua duanya. Kerana Allah telah menetapkan dunia sebagai tempat untuk manusia menjadi Khalifah kepada muka bumi. Kerana ia sememangnya pinjaman untuk manusia memakmurkan.

Kerana Allah semata.





Jelas nyata juga cara hidup Islam yang aku lihat, mampu menjayakan seorang Muslim itu sebagai seorang insan yang begitu hebat di muka bumi. Mengalahkan segala tokoh dunia yang diperkenalkan Barat. Dengan janji janji Allah yang mahu memberi dan membantu jikalau kita mengubah nasib, mengapa kita biarkan nama Islam diketepikan di dunia ini?

Aku percaya, jikalau kita berpegang teguh pada Al Quran dan Hadis sebagai panduan, nyata kita tidak akan ditindas. Nyata kita mampu bergerak ke arah yang lebih maju dan padu.

Walaupun disempitkan dunia dengan normaliti yang cacat.

Persoalannya, adakah kita cukup berpegang teguh? Benarkah diri dan hati kita ini sebenar benarnya berpandukan Al Quran dan Hadis, dan bukan kepada Barat? Ya. Aku bertanyakan kepada kau yang sedang membaca dan aku yang menulis.

Bak kata biasa Melayu, "buat separuh sahaja dah cukup". Kata kata yang sering terngiang dalam hati manusia. Agama dicampurkan dengan hukum manusia. Persatuan umat telahpun berpecah sehingga kesatuan yang halus mengaburi mata hati dan nama dunia.

Halus. Begitu halus. Persoalkan sahaja setiap perkara dalam kehidupan seharian ini. Di manakah yang mengikut cara hidup Islam? Adakah hati kita bergerak ke arah situ juga?

Normaliti kita sekarang sudah pun turun ke tahap yang paling rendah, ke tahap yang paling sakit. Normaliti yang rosak, dan merosakkan. Sekadar ingat, jikalau ada hati kita ini masih memilih antara normaliti cacat ciptaan manusia ini dan kehidupan Islam,ingatlah,

Diri Manusia Itu Tiada Besarnya Langsung Untuk Dibandingkan Dengan Kebesaran Allah S.W.T

You Might Also Like

0 komen

Like us on Facebook

Follower